Tuesday, September 2, 2008

PANTUN PEWARIS ADAT

PANTUN PEWARIS ADAT

Dato’ Dr. Mohd Rosli Saludin
Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu
Universiti Pendidikan Sultan Idris


PENDAHULUAN

Pantun sebagai pewaris adat menakjubkan serta mengkagumkan. Masyarakat Melayu yang dianggap buta huruf, simple, kolektif dan serba kekurangan itu telah menghasilkan pantun yang bukan sahaja banyak jumlahnya tetapi tinggi kualitinya. Pantun sebagai pewaris adat telah menampakkan perkembangan dan liku-liku sejarah peradaban kehidupan masyarakat yang melahirkannya, lingkaran pengaruh di sekeliling, ‘world view’ masyarakat yang mengucapkannya dan kekreatifan masyarakatnya.

Pantun sebagai pewaris adat telah digunakan dalam semua aspek kehidupan sama ada untuk gurauan, hiburan, di dalam upacara perdukunan, adat istiadat dan alat perundangan hingga kekal ke hari ini. Pantun agak berbeza dengan puisi baru. Perbezaan tersebut ialah dari segi bentuk, pemilihan diksi, jalan irama, fikiran dan perasaan yang terjelma di dalamnya.

PANTUN SEBAGAI PEWARIS ADAT

Pantun ialah ragam puisi yang hidup di kalangan rakyat dan bersifat penuh dengan kemelayuan. Pantun telah sedia hidup dalam masyarakat Melayu sebelum orang-orang Melayu tahu membaca dan menulis. Keistimewaan pantun terserlah apabila ia berjaya melahirkan berbagai-bagai bentuk perasaan, iaitu dengan menggunakan lafaz seni yang cukup indah. Keistimewaan bahasa pantun dapat digunakan ketika berkasih-kasihan, memberi nasihat, bersuka-suka, bergurau senda, berjenaka, menyindir dan untuk menyatakan kesedihan. Pantun sehingga kini kekal sebagai hak masyarakat umum, tiada sesiapapun boleh mengaku bahawa mereka merupakan pemilik asalnya. Pantun boleh dikelompokkan kepada beberapa penjenisan dari sudut temanya, Zainal Abidin Abu Bakar (1983) iaitu:

Pantun adat dan resam manusia,
Pantun agama dan kepecayaan,
Pantun budi,
Pantun jenaka dan permainan,
Pantun teka-teki,
Pantun kepahlawanan,
Pantun pendidikan dan nasihat,
Pantun peribahasa dan perbilangan,
Pantun kias dan ibarat,
Pantun kembara dan perantauan,
Pantun percintaan dan perkahwinan.
Bagi menjelaskan lagi keistimewaan pantun sebagai pewaris adat penulis telah mengumpulkan sebahagian daripada pantun-pantun yang menarik untuk difikirkan.

Adat kayu berdiri tegak
Tegak berdiri besar bertambah
Adat Melayu bersendi syarak
Syarak bersendi ke Kitabullah

Pahat mana yang kita pegang
Pahat besi bergagang kayu kayu
Adat mana yang kita pegang
Adat jati orang Melayu

Urat mana yang kita cencang
Urat kayu di tengah laman
Adat mana yang kita pegang
Adat Melayu zaman berzaman

PANTUN ADAT

Pantun adat ini tidak jauh berbeza dengan pantun nasihat. Ia juga sebagai tunjuk ajar agar adat dan resam tetap di junjung, tingkah laku tetap terjaga sehingga kehidupan sehari- hari damai sentosa. Selain itu, pantun adat bertujuan untuk mengajar nilai- nilai agama dan moral yang terkandung dalam adat Melayu. Adat Melayu juga terkandung pengetahuan sejarah mengenai persukuan, asal-usul, dan kepimpinan negeri.

Contoh adat ialah pantang larang yang merupakan kepercayaan masyarakat Melayu sejak zaman lampau.

Jangan memukul, mendera atau mencederakan mana-mana binatang, dikhuatiri anak yang akan lahir mengalami kecacatan. (Bagi mengelakkan penginianyaan haiwan.)

Jangan mencaci atau menceritakan kecacatan, dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat. (Agar menjaga pertuturan agar tidak melukakan hati orang lain.)

Jangan bergaduh dengan ibu mertua, dikhuatiri mengalami kesulitan ketika melahirkan anak. (Bagi menjaga kenteteraman keluarga, terutamanya apabila tinggal bersama mertua selepas melahirkan anak.)

Jangan melihat gerhana, dikhuatiri anak mendapat tompok hitam atau bermata juling. (Melihat matahari sewaktu gerhana mampu menyebabkan mata menjadi buta.)

Ibu hamil tidak boleh melintas bawah ampaian, nanti anak gagap. (Disebabkan penyidai biasa rendah, dikhuatiri ibu hamil akan tersendung dan jatuh, dan boleh membahayakan kandungan.)

Dilarang (orang lelaki) kencing atas busut, dikatakan buruk kemaluan (Bagi mengelakkan lelaki berkenaan ditegur oleh makhluk halus ataupun penunggu busut berkenaan.)

Jangan duduk di atas bantal kerana dipercayai boleh naik bisul. (Supaya menjaga bantal daripada dipecah atau dikoyak, dan tidak sopan kalau perkakas yang digunakan untuk melapik kepala diletakkan di bawah punggung.)

Jangan bergendang dalam rumah, nanti harta habis dicuri oleh orang. (Larangan ini adalah bagi mengelakkan bising di rumah, tambahan lagi bergendang dengan mengetuk lantai rumah yang dibuat dari papan boleh merosakkan barang-barang yang bergantung di dinding yang boleh jatuh dan pecah.)

Jangan menjahit pada waktu senja, nanti mata engkau akan buta. (Untuk menjaga kesihatan mata supaya tidak menjadi kabur dan rosak, dan mengelakkan jarum daripada tercucuk tangan.)

Kalau makan nasi hendaklah dihabiskan, kalau tidak nasi akan menangis. (Bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.)

Anak dara jangan menyanyi di dapur, nanti kahwin dengan orang tua. (Bagi mengelakkan masakan hangus kerana leka menyanyi.)

Pantang larang sebelum perkahwinan

Ada terdapat 43 pantang larang kepada bakal pengantin.

Jangan keluar dengan pasangan selama 40 hari sebelum diijabkabulkan. (Bagi mengelakkan berlaku tohmah masyarakat. Selain itu, ia bertujuan mengawal nafsu. Ia juga untuk menimbulkan perasaan rindu dendam. Perasaan yang timbul akan membuatkan wajah pengantin lebih berseri.)
Jangan tidur di rumah orang lain takut terkena ilmu. (Ia adalah bagi menjaga nama baik keluarga.)
Jangan bebas keluar ke mana-mana kerana takut disantau oleh mereka yang mempunyai niat tidak baik. (Bagi mengelakkan kedua pihak melanggar hukum agama.)
Jangan makan nasi dengan gulai berkuah beberapa bulan sebelum naik pelamin. (Bagi mengelakkan perut buncit.)
Jangan makan ulam yang berbau busuk seperti petai dan jering. ( )
Jangan bercermin terutama selepas maghrib ke atas. (Bagi mengelakkan diri daripada perkara sihir.)
Jangan membuang air kecil dan air besar serentak di dalam air contohnya dalam sungai, dan kolah. (Bagi mengelakkan lemah organ seks. Juga dilarang dalam agama.)
Jangan minum air bergas kerana ia mempunyai gula dan gas yang tinggi. (Bagi mengelakkan kencing manis.)
Kurangkan makan makanan yang manis. (Bagi mengelakkan kencing manis dan berat badan.)
Jangan mandi malam. (Bagi mengelakkan sakit sendi-sendi.)
Kawal makan iaitu sekali makan setiap hari. (Mengikut sesetengah adat)
Jangan memakai seluar dalam yang ketat pada waktu malam dan tidur meniarap. (Bagi mengelakkan darah tidak mengalir dan kesan buruk pada organ seks lelaki).
Jangan makan terlalu banyak makan makanan laut. (Bagi mengelakkan buangan toksid yang banyak.)
Tiga bulan sebelum berkahwin, mula membuat urutan. (Supaya pengantin mempunyai tenaga.)
Amalkan makan telur ayam kampung yang dicampur madu dan lada hitam yang ditumbuk, seminggu dua kali. (Bagi menambah tenaga.)
Bagi mereka yang banyak angin, minum air halia. (Bagi membuang angin.)
Belajar ilmu rumah tangga daripada orang yang berpengalaman dan sudah berkahwin tentang rahsia memikat isteri. (Supaya rumah tangga aman dan damai.)
Jangan memuaskan nafsu dengan cara sendiri.
Cukupkan waktu tidur tujuh hingga lapan jam sehari.
Elakkan minum minuman keras dan merokok.
Elakkan terkena cahaya matahari. (Kerana dikhuatiri hitam dan tidak berseri pada hari perkahwinan.)
Elakkan minum air soya kerana ia sejuk dan tidak elok untuk alat kelamin.
Amalkan makan jamu. (Supaya pada malam pengantin tidak mengecewakan.)
Banyakkan baca surah-surah. Bagi mengelakkan gangguan syaitan. Sentiasa mengingati Allah.)
Jangan makan sebebas-bebasnya. (Kerana ketika ini sistem dalaman tidak stabil.)
Jangan terlalu terdedah kepada keluarga lelaki (simpan diri).
Jangan berembun atau keluar malam. (Bagi mengelak terdapat unsur jahat.)
Jangan bercelak atau berlangir serta memotong rambut seminggu sebelum ijab kabul.
Jika sudah bernikah gantung maka tidak boleh bersama.
Selepas bernikah mesti ada peneman tidur sebelum bersama. (Ia bertujuan untuk menghangatkan lagi kemesraan.)
Bilik lelaki atau wanita jangan dikosongkan. Mesti ada orang atau ahli keluarga terdekat tidur di dalamnya. (Bagi mengelakkan daripada dikhianati orang.)
Jangan buat kerja yang berat. Bila pengantin membuat kerja berat. Bagi mengelakkan daripada berasa penat dan mudah terjadinya gangguan emosi.)
Jaga pertuturan. (Supaya tidak menimbulkan rasa sakit hati.)
Elakkan makan dan minum seperti sayur bersifat sejuk seperti kangkung, bayam, timun, jambu batu, dan air kelapa. (Supaya muka nampak segar.)
Jangan cukur kening. (Kerana ditakuti akan menghilangkan seri muka.)
Sebelum menjadi pengantin, katil kelamin tidak boleh ditiduri oleh pengantin. (Kerana tidak manis.)
Lempar baju ke atas bumbung rumah tanpa diketahui oleh orang lain. (Bagi mengelakkan hujan turun ketika majlis berlangsung.)
Dilarang memandang cermin ketika disolek oleh juruandam. (Kerana dikhuatiri hilang seri.)
Kedua-dua pengantin dilarang bercakap ketika bersanding. (Kerana kurang manis dipandang tetamu.)
Jangan makan kepala ayam. (Supaya tidak mengantuk masa bersanding.)
Dilarang membuang alis. (Kerana perbuatan tersebut akan menghilangkan seri wajah buat pengantin lelaki. )
Jangan makan bersulam air. (Kerana dikhuatiri menyebabkan perut menjadi buncit.)
Elakkan keluar rumah tanpa tujuan kerana angan-angan yang tinggi menjelang perkahwinan dikhuatiri bakal pengantin mengalami kemalangan jika berada di luar.

Orang-orang tua Melayu dahulu selalu mengingatkan anak cucunya supaya tidak melanggar pantang larang. Melanggar pantang larang samalah dengan tidak mendengar nasihat.

Ada sirih ada pinang,
Nantikan gambir dengan kapur;
Sudah dipilih sudah dipinang,
Hanya menanti ijab kabul.

Maksud: Adat resam kahwin Melayu merupakan adat resam yang paling disayangi dan yang paling dipegang teguh oleh kebanyakan orang Melayu, baik di kawasan luar bandar mahupun di bandar. Ibu bapa bakal pengantin lelaki kemudian menugaskan sebilangan orang tua yang rapat untuk bertemu dengan ibu bapa anak perempuan agar mendapat persetujuan. Ibu bapa anak perempuan akan meminta sedikit masa demi adat untuk membuat pertimbangan atas alasan bahawa mereka harus berunding dengan saudara-saudara mereka (walaupun mereka telah tahu tentang kunjungan utusan sebelum ketibaannya, dan telah memberikan persetujuan). Ini mungkin mengambil masa beberapa hari atau paling lama, seminggu. Ibu bapa anak perempuan kemudian menugasi sebilangan saudara yang terdiri daripada kedua-dua lelaki dan perempuan, untuk menyampaikan keputusan mereka untuk menerima pinangan. Semasa ini syarat-syarat perkahwinan seperti hantaran kahwin, belanja, hari upacara perkahwinan, dan sebagainya dibincangkan dan diselesaikan. Inilah sebabnya utusan merangkumi orang-orang lelaki.

Pada zaman silam, adat menghantar tanda mendahului adat menghantar mas kahwin dan belanja, khususnya jika upacara melangsungkan perkahwinan ditangguhkan selama beberapa bulan. Tanda itu biasanya adalah dalam bentuk cincin emas atau berlian, dengan nilainya bergantung kepada kehendak hati serta keupayaan kewangan keluarga lelaki. Tanda itu biasanya diiringi oleh hadiah-hadiah yang lain kepada bakal pengantin perempuan, seperti kain, sarung, selipar atau kasut, gula-gula, buah-buahan, dan sebagainya.

Penghantaran tanda biasanya disertai dengan majlis kenduri oleh kedua-dua keluarga. Sesetengah orang juga menyampaikan cincin dan hadiah-hadiah yang lain dengan cara mengadakan perarakan ke rumah bakal pengantin perempuan. Penerimaan cincin dan hadiah-hadiah iringan secara tradisi bermaksud penerimaan syarat-syarat perkahwinan yang berikut antara kedua-dua pihak:

Jika lelaki itu, atas apa-apa alasan, gagal untuk mengahwini anak perempuan yang ditunangkan, cincin pertunangan serta hadiah-hadiah yang lain tidak boleh dituntut balik.
Jika perempuan itu, atas apa-apa alasan kecuali kematiannya, gagal memenuhi tujuan pertunangan itu, maka semua hadiah, termasuk cincin pertunangan, harus dikembalikan kepada lelaki pada kadar sekali ganda, baik dari segi bilangan atau nilainya. Inilah adat yang telah diikuti oleh orang-orang Melayu sejak dari zaman silam.

Ada yang datang waktu petang,
Ada yang datang pakai kereta;
Tuahlah badan mendapat gelang,
Mendapat cincin berbatu pula.

Maksud: Terdapat juga dua cara pertunangan yang lain selain daripada cara yang tersebut di atas, iaitu pertunangan antara dua buah keluarga yang amat rapat atau bersaudara tanpa cincin pertunangan atau persetujuan bertulis ketika anak-anak mereka masih bayi atau kanak-kanak lagi. Pertunangan yang dibuat untuk memenuhi kehendak salah seorang arwah ibu bapa (baik secara lisan sebelum kematiannya atau melalui wasiat tertulis). Cara ini dihormati oleh orang-orang Melayu.

Bunga ros bunga melati,
Harum semerbak di dalam taman;
Besar sungguh hajat di hati,
Untuk menyunting bunga di taman

Maksud: Menilik atau merisik pada hakikatnya adalah adat yang memang baik dan berguna jika ia dijalankan bersesuaian dengan tujuannya, iaitu untuk memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan dalam sesebuah keluarga Melayu. Ini adalah untuk memastikan para ibu bapa tidak tersilap pilih dan dapat mencari yang terbaik untuk anak lelaki mereka.

Apabila ibu bapa seorang lelaki telah menetapkan fikiran mereka yang anak mereka itu sudah sampai masanya untuk berumahtangga dan patut dikahwinkan, mereka mencari dan memerhatikan beberapa orang daripada anak-anak dara yang mereka kenali dan kemudian mereka memilih salah seorang di antara mereka yang dirasakan sesuai dan padan untuk dijadikan menantu. Mereka mula menyelidik tentang latar belakang anak dara tersebut melalui saudara-mara dan sahabat handai. Latar belakang bukan hanya bermaksud melibatkan hal keluarga anak dara tersebut, tetapi juga tingkah laku keperibadian dan kesucian anak dara itu. Ini kerana, faktor dara atau kesucian seseorang gadis amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu. Istilah sudah ditebuk tupai bukan sahaja memalukan seluruh keluarga lelaki, malah di kalangan masyarakat Melayu, pihak lelaki dianggap dayus sekiranya mereka mengahwini anak dara yang sudah tidak mempunyai dara lagi. Sekiranya pihak perempuan merahsiakan hal ini dari pengetahuan pihak lelaki, pihak lelaki berhak menceraikan isterinya jika dia menyedari yang dia telah ditipu setelah melalui malam pertama. Ini kerana, sudah menjadi adat masyarakat Melayu menetapkan nilai mas kahwin dan hantaran yang berbeza bagi seorang anak dara dan seorang janda. Nilai bagi seorang janda adalah separuh daripada nilai seorang anak dara.

Selain itu, pilihan yang tepat adalah difikirkan perlu bukan sahaja terhadap diri anak dara terbabit, tetapi juga ibu bapanya. Ini adalah kerana orang-orang Melayu dahulu berpegang kuat kepada perbidalan Melayu "Kalau hendak meminang anak, 'pinang' ibu bapanya dahulu”.Anak dara yang biasanya menjadi rebutan dan pilihan utama adalah anak dara yang sudah khatam Al-Quran, fasih dalam bacaan dan mahir membaca Al-Quran dalam lagunya serta mempunyai sedikit sebanyak tentang pengetahuan dan hukum-hukum dalam agama Islam. Begitu juga mereka dinilai dari segi rupa paras yang elok dan beberapa kemahiran asas yang lain seperti menjahit, menekat dan memasak.

Dalam adat merisik, selepas anak dara yang sesuai dipilih, biasanya wakil dari pihak lelaki datang ke rumah anak dara tersebut. Biasanya rombongan ini hanya disertai oleh ahli keluarga perempuan bagi pihak lelaki. Kedatangan ini bertujuan untuk berkenal-kenalan dengan keluarga pihak perempuan di samping melihat sendiri wajah dan tubuh badan anak dara tersebut. Kedatangan ini juga bertujuan untuk memastikan sama ada anak dara tersebut sudah dimiliki orang ataupun belum. Ada sesetengah rombongan yang hanya datang untuk melihat anak dara tersebut dan bersuai kenal dengan ahli keluarganya tanpa mengikat sebarang perjanjian atau memberi kata putus, namun ada juga yang terus mengikat janji persetujuan untuk menetapkan tarikh peminangan. Ini semua bergantung kepada pihak keluarga lelaki terbabit.

Ada rombongan yang datang tanpa diberitahu dan ada juga yang datang setelah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak perempuan. Pada fahaman dan kepercayaan orang tua-tua, apabila kedatangan merisik itu dilakukan dengan tiba-tiba sahaja dan secara kebetulan pada waktu itu didapati anak dara tersebut sedang mandi atau mencuci pakaian, maka ia membawa suatu petanda yang baik, iaitu menunjukkan jodoh pertemuan yang sejuk. Ini kononnya membawa maksud bahawa jika kedua-duanya jadi diikat sebagai suami isteri, kehidupan mereka menjadi senang-lenang dan keadaan rumahtangga mereka sentiasa aman muafakat. Akan tetapi, sekiranya sewaktu rombongan datang, anak dara tersebut sedang memasak, maka ia membawa alamat kurang baik kerana dengan yang demikian, kononnya, membawa petanda panas, iaitu tidak begitu baik. Begitu juga dipercayai oleh orang tua-tua Melayu dahulu bahawa jika sewaktu di dalam perjalanan rombongan hendak pergi merisik anak dara berlaku sesuatu bencana seperti terdapat kayu di tengah-tengah jalan, iaitu sesuatu yang dianggap menggendalakan, maka ia juga dikatakan membawa petanda yang kurang baik terhadap jodoh tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu moden kini, kepercayaan-kepercayaan sedemikian tidak lagi diamalkan dan dititikberatkan. Malah, tidak mustahil dikatakan sebilangan besar masyarakat Melayu kini kurang memahami alamat-alamat dan petanda yang datang kepada mereka.

Setelah selesai adat menilik, rombongan tersebut akan pulang. Satu rundingan diadakan di antara ahli keluarga pihak lelaki yang melibatkan adik-beradik dan waris terdekat untuk mencari kata putus tentang hal tersebut. Mereka kemudiannya berbincang untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk menjalankan adat meminang dan pertunangan.

Naik bukit terkedok- kedok,
Hendak cari damar batu,
Habis kering bergadai golok,
Hendak sambut anak menantu,

Maksud: Adat sambut menantu dalam masyarakat melayu telah lama di amalkan. Adat ini adalah untuk menyambut anak menantu yang baru berkahwin dengan anak lelaki mereka. Ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada sanak saudara dan kepada masyarakat di rumah pihak lelaki. Ibu bagi pihak lelaki membuat kenduri bagi menyambut menantu baru mereka dan sanggup menghabiskan wang mereka bagi memeriahkan lagi kenduri sambutan menyambut menantu. Selain itu, adat menyambut menantu ini adalah untuk menghantar pengantin perempuan ke rumah pihak lelaki. Selain itu, ia juga untuk memberi kebiasaan kepada menantu perempuan untuk membuat kerja rumah dan di situlah ibu pihak lelaki melihat menantu mereka dengan lebih rapat lagi.

Petang- petang berisi manik,
Jambu air letak di tepi,
Tuan datang marilah naik,
Itulah air pembasuh kaki,

Maksud: Pada masyarakat Melayu, adat membasuh kaki sebelum memasuki rumah telah lama diamalkan. Setiap rumah masyarakat melayu mengandungi sebiji tempayan untuk mengisi air bagi membasuh kaki kepada para tetamu sebelum memasuki rumah mereka. Adat ini harus di gunakan untuk menjaga kebersihan kerana perjalanan yang kita lalui terdapat banyak pencemaran. Oleh itu, masyarakat melayu telah menyediakan air membasuh kaki di hadapan rumah bagi mengelakkan kotoran.

Pantun adat ini berkisar tentang kehidupan di dunia dan menjadi panduan kepada masyarakat khususnya dalam kehidupan sehari-hari.

Kalau tanduk menjadi gading,
Ambil sirih agak segagang,
Kalau duduk dalam berunding,
Fikiran jernih dada pun lapang.

Masyarakat khususnya pada zaman dahulu lebih mementingkan perundingan dan perbincangan dalam kehidupan sehari-hari. Dengan itu, mereka akan tenang dan akur dengan keputusan yang dibuat majoriti.

Kalau banyak bertanam puding,
Di mana busut di sana seminai,
Kalau bijak dalam berunding,
Di mana kusut di sana selesai.

Pantun ini menjelaskan bahawa jika masyarakat atau individu itu pandai dalam menyelesaikan masalah maka ianya akan mendapat penyelesaian yang mudah.

Ikan berenang di dalam lubuk,
Ikan belida dadanya panjang,
Adat pinang pulang ketampuk,
Adat sirih pulang ke gagang.

Memberitahu bahawa anak buah yang telah kematian isteri akan dibenarkan pulang ke tempat asalnya semula. Akan tetapi, ia dibenarkan juga untuk ke rumah bekas isterinya bagi melawat anak-anak yang ada.

Terdapat juga pantun adat perkahwinan yang boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu;

Pantun pada awal pertemuan,
Pantun semasa peminangan,
Pantun semasa dalam pertunangan,
Pantun semasa menyambut pengantin,
Pantun semasa persandingan,
Pantun selepas perkahwinan.

1. Pantun Pada Awal Pertemuan

Pantun yang dilafazkan oleh masyarakat Melayu pada awal pertemuan pasangan berkisar kepada kata-kata di awal pengenalan antara pasangan. Menggunakan perkataan-perkataan yang indah sesuai dengan masa, tempat dan situasi pantun itu dilafazkan. Biasanya pasangan saling menduga hati masing-masing untuk memastikan mereka belum mempunyai buah hati dan saling menyukai. Setelah berkenalan pasangan saling puji-memuji untuk menarik perhatian pasangan masing-masing dan mengambil hati serta memupuk kasing sayang yang mendalam antara mereka.

Pantun-pantun yang dilafazkan jelas mencerminkan adat pergaulan bangsa Melayu yang kaya dengan budi bahasa, sopan santun, keimanan, pantang larang dan sebagainya. Contoh pantun yang sering dilafazkan seperti di bawah:

Perahu temberang pun baharu,
Baharu sekali masuk Melaka,
Abang baharu, adik pun baharu,
Baharu sekali kenal biasa.

Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang,
Dua tiga boleh ku cari,
Mana nak sama adik seorang.

Limau purut lebat di pangkal,
Sayang selasih condong uratnya,
Angin ribut dapat ditangkal,
Hati kasih apa ubatnya?

Apa tanda hari nak petang,
Anak merbah terciap-ciap,
Apa tanda cinta nak datang,
Darah di dada gerap-gemirap

Dari mana datangnya kelisa?
Dari sawah turun ke kali,
Dari mana datangnya cinta?
Dari mata turun ke hati.

Mengapa tuan pergi ke hutan,
Kerana hendak bertanam padi
Bila persahabatan menjadi percintaan,
Kata tidak diperlukan lagi.

Pantun sememangnya sangat akrab dengan masyarakat Melayu. Malahan, di dalam pantun banyak digambarkan tentang cara hidup masyarakat penciptanya iaitu masyarakat Melayu sama ada bertemakan agama, adat dan budaya, nasihat, jenaka, teka-teki, pantun perantau, pantun budi dan juga pantun yang menyentuh soal kasih sayang dan percintaan. Pantun yang bertemakan cinta dan kasih sayang, biasanya sangat indah dan menarik. Persoalan cinta ini sememangnya luas maknanya. Ada yang mengzahirkan cinta kepada tuhan, cinta kepada negara, agama, keluarga dan paling akrab; cinta kepada seseorang. Berikut adalah pantun yang berkaitan percintaan sesama manusia:

Pilih kiambang bertaut jarang,
Tempua berlagu rentaknya gundah;
Kasih tuan di laut seberang,
Hamba menunggu jemu tak sudah.

Keridik putih dirantai mati,
Gundah gulana perawan di laman;
Merisik kasih di pantai hati,
Sudikah bertakhta tuan budiman.

Teratai putih di taman larangan,
Harap tumbuh makmur mekarnya;
Menyemai kasih tuan seorang,
Harap sungguh subur membunga.
Bertih dan sagu dari seberang,
Sebungkus dua kuih koci;
Kasihku ini bukan sebarang,
Luhur tulus cinta nan suci.

Sesungguhnya, pantun-pantun yang berkisahkan percintaan dan kasih sayang dicipta dengan menggunakan bahasa yang puitis dan indah. Maksud yang ingin disampaikan biasanya dalam keadaan tersurat dan ada juga yang tersirat.

Fungsi pantun tersebut ialah untuk menyampaikan hasrat hati kepada seseorang yang dicintai. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memikat dan meluahkan perasaan terhadap insan yang dikasihnya. Penghayatan terhadap pantun bertemakan percintaan akan dapat menyuburkan rasa kecintaan yang mendalam dan bermakna.

2. Pantun Peminangan

Pantun-pantun yang dilafas lebih tersusun dan formal sesuai dengan majlis yang berlangsung. Maksud yang disampaikan terarah kepada hajat yang dibawa dan sebab-sebab datang bertandan. Biasanya kedua-dua pihak masing-masing mencari keserasian untuk mendapatkan satu permuafakatan dan persetujuan. Kedua-dua belah pihak akan menjaga tutur kata masing-masing, pantun yang dilafaskan disusun dengan teratur dalam suasana yang terkawal dan ceria. Kalau tersalah cakap akan membawa padah. Majlis berlangsung dalam suasana harmonis, beradat sesuai dengan budaya dan adat setempat. Contoh pantun-pantunnya seperti berikut:

Berkokok ayam dari hulu,
Ditangkap budak sedang berlari,
Angin memukul gelombang memalu,
Sebab berhajat kita ke mari.

Jika tidak kerana bulan,
Bilakan air pasang pagi?
Jika tidak kerana tuan,
Masakan kami datang ke mari?

Bukan kacang sebarang kacang,
Kacang melilit kayu jati,
Bukan datang sebarang datang,
Datang mengikat jantung hati.

Pagi-pagi pergi ke ladang,
Hendak menyemai benih padi,
Berapa tinggi Gunung Ledang,
Tinggi lagi hajat di hati.

Asap api di Tanjung Tuan,
Kuala Linggi bakaunya rendah,
Harap hati kepada tuan,
Langit tinggi kupandang rendah.

3. Pantun Semasa Dalam Pertunangan

Tempoh yang cukup meyiksakan buat kedua pasangan. Pantun yang dilapaskan penuh emosi, sarat dengan perasangka, saling rindu-merindui, cemburu, kasih sayang dan sebagainya. Turut mengambarkan harapan dan keserasian di antara pasangan.

Kuda kelabu menyeberang,
Terendam kaki pelananya,
Hati gila mabuk seorang,
Tuanlah sebab kerananya.

Jika tuan pergi ke tanjung,
Saya berkirim pisau lipat,
Jika tuan menjadi burung,
Saya menjadi seorang pemikat.

Jahit setangan pinggir dikelim,
Baik dikelim kembang kelapa,
Rindu dendam ke mana dikirim,
Mahu dikirim kepada siapa.

Buluh perindu di atas gunung,
Habis luruh buah padiku,
Rindu kekanda tiada tertanggung,
Hancur luluh rasa hatiku.

4. Pantun Semasa Menyambut Pengantin

Pantun yang dilafazkan mengambarkan adat mengunjung dan adat menerima pengunjung yang diamalkan oleh masyarakat Melayu. Kaya dengan budi bahasa, sopan santun dan memuliakan tetapi menyelitkan unsur cabar mencabar, bergurau senda, dan kata-mengata untuk menghidupkan majlis agar sentiasa segar dan ceria. Contoh pantunnya seperti di bawah:
Raja besar perang berarak,
Perang sekali tidak selesai,
Silalah tuan datang ke teratak,
Tikar jarang jarak merasai.

Kemili berjunjung naik,
Datang selingkar jatuh ke lubuk,
Jerangkan air di pangkal titi,
Saya berdiri sudah nak naik,
Berilah tikar saya nak duduk,
Berilah air pembasuh kaki.

Katang-katang berisi manik,
Yang sebiji berisi gelam,
Hulurkan tangan kami nak naik,
Kami datang di malam kelam.

5. Pantun Semasa Majlis Persandingan

Pantun-pantun yang dilafaskan khusus kepada kedua mempelai. Biasanya dilafazkan oleh pengacara, keluarga terdekat dan para hadirin yang hadir. Pantun-pantun yang dilafazkan menjurus kepada pengantin dengan kata-kata pujian dan keserasian di antara mereka. Contoh pantunnya seperti berikut:

Anak cina cari sembilang,
Dapat seekor di atas pasir,
Laksana mahkota gilang gemilng,
Sebagai emas baru diukir.

Jelatik burung jeladan,
Tekukur terbang tinggi,
Sama cantik, sama padan,
Kalau diukur sama tinggi.

Burung jelatik burung jeladan
Mencari sarang burung tempua
Sama cantik sama padan
Seperti pinang dibelah dua

Kain batik baju batik,
Batik datang dari Jawa,
Adik cantik abang cantik,
Bagai pinang belah dua.

Kain batik selendang batik,
Mari sebar di atas pentas,
Adik cantik abang cantik;
Bagai dakwat dengan kertas.

6. Pantun Selepas Berkahwin

Pantun-pantun yang dilafaskan adalah di antara suami dan isteri. Kata-kata yang dilafazkan untuk mengambarkan isi hati yang kesumbat dengan cinta, kasih sayang, pengharapan, janji setia dan sebagainya. Melalui pantun-pantun ini menjelaskan betapa murninya ikatan perkahwinan yang dianjurkan oleh agama, kerana melalui pekahwinan itu telah menghalalkan penyatuan dua hati yang saling lengkap-melengkapi, perlu-memerlukan, sehingga berlakunya satu perkongsian hidup yang benar-benar adil, harmonis dan bahagia. Antara pantun-pantun itu ialah:

Pohon selasih pohon semulih,
Ambil sopan pecahkan santun,
Sudah kita bertambah kasih,
Marilah kita berkarang pantun.

Anak muda berantai dokoh,
Padang luas larian kuda,
Sekarang baru mendapat jodoh,
barulah puas hati kakanda.

Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Layang-layang di atas bukit,
Kayu tengar dari seberang,
Cinta sayang bukan sedikit,
Racun penawar tuan seorang.

Seri Rama menambang tasik,
Tasik ditambang dipadan tetamu,
Sekian lama menanggung kasih,
Baharulah sekarang kita bertemu.

Padi bernama padi belok,
Benih datang dari Palembang,
Serta dapat bunga dijolok,
Baharulah dapat bunga yang kembang.

Belayar masuk Kuala Kedah,
Patah tiang timpa kemudi,
Sekuntum bunga terlalu indah,
Sekalian kumbang asyik berahi.

Penjelasan dan contoh-contoh pantun yang diutarakan di atas menunjukkan bahawa, pantun sangat istimewa dan tersendiri sifatnya. Penjenisan dari sudut tema khusus kepada tema perkahwinan yang dibincangkan ini tidak terdapat pada puisi-puisi Melayu Klasik yang lain. Ini merupakan suatu fenomena yang sangat menarik, kerana itulah pantun dianggap oleh banyak pengkaji sebagai suatu hasil kesusasateraan yang istimewa milik orang Melayu. Di sebalik keistimewaan bahasa dalam pantun itulah tersimpan khazanah dan keperibadian Melayu yang sebenar.
Bagaimanapun, pembahagian ini hanyalah suatu pembahagian yang umum dan bukan mutlak sifatnya. Pembahagiannya kepada enam peringkat proses perkahwinan masih boleh dipersoalkan. Tambahan pula pantun-pantun yang dihimpunkan ini bukan statik sifatnya. Pantun-pantun itu boleh juga dilafazkan dimana-mana majlis dan situasi mengikut kesesuaian dan keperluannya, tidak terikat dalam majlis perkahwinan sahaja. Bahkan, temanya juga boleh berubah mengikut keadaan dan keperluan si pengucapnya.
Namun begitu, pembahagian yang dibuat ini, pada hemat penulis ada rasional dan kepentingannya. Paling tidak, kita dengan mudah boleh mengenali adat dan peraturan majlis perkahwinan masyarakat Melayu, pemantunnya, budi bahasanya, sikap dan emosi serta gaya kasih sayang bangsa kita.

KESIMPULAN

Pantun adalah alat komunikasi yang sangat istimewa kerana bahasanya yang tepat dan mempunyai mesej untuk mendidik masyarakat. Setiap rangkap pantun sudah diukur terlebih dahulu dan kemudian bari digunakan. Keistimewaan bahasa dalam pantun menunjukkan kebijaksanaan orang Melayu dalam mendidik masyarakat supaya beradat dan beradab.

Pantun yang istimewa terutama dari segi bahasanya yang indah dan kritis dijadikan sebagai sumber rujukan, ilmu dan amanat. Pantun juga adalah alat komunikasi Melayu yang tidak bercanggah dengan Islam. Sastera dan budaya sememangnya mempunyai kedudukan yang tersendiri menurut pandangan Islam seperti yang diakui oleh Allah dalam kitab suci al-Quran mahupun dalam hadis Nabi Muhammad.

Dalam al-Quran terdapat surah khusus yang membincangkan peranan, kepentingan, ciri-ciri sasterawan dan seniman Islam yang terdapat dalam Surah Asy-Syura (Surah Para Penyair) yang menjelaskan apa yang harus dilakukan dan tidak harus dilakukan oleh seseorang sasterawan atau budayawan kerana apa yang dilakukan dan dihasilkan akan ditanya dan diadili oleh Allah pada hari kiamat.

Pantun yang baik telah membuatkan orang Melayu jadi unik dan istimewa. Banyak nilai baik dalam pantun yang boleh kita amalkan kerana boleh mewujudkan perpaduan orang Melayu, Islam dan rakyat di negara kita. Walaupun kita sudah memasuki abad yang ke 21, namun pantun yang istimewa, menarik dan kritis masih terus diamalkan dan bukan mustahil untuk diteruskan. Apa yang penting orang Melayu harus memahami sedalam mungkin mesej pantun itu sendiri.

Pantun yang baik dan istimewa patut kita amalkan dan menjadi darah daging kerana banyak membawa kesan yang positif kepada khalayak. Sebenarnya pantun sepatutnya bukan menjadi hiasan majlis sahaja, tetapi ia perlu dijadikan sebagai pakaian harian orang Melayu dan peminat-peminatnya. Bahasanya yang indah dan padat sungguh tepat untuk menyampaikan mesej kepada sasarannya.


RUJUKAN

Ahmad Kamal Abdullah. 1989. Unsur-Unsur Islam Dalam Puisi Melayu Moden. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Harun Mat Piah. 1997. Puisi Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Zainal Abidin Abu Bakar. 1983. Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Mohd. Thani Ahmad et al. 1990 (2002), Kurik-Kundi Merah Saga Kumpulan Pantun Lisan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Permata Timur. 1998. Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia

No comments: